Senarai LAGU RAYA Terbaru + POPULAR 2024



                                                            Sinopsis, Video Trailer The Avengers (Movie)

                                                            The Avengers sarat aksi


                                                            PERMULAAN filem berdurasi 143 minit ini agak perlahan, lapis demi lapis dikupas dan diolah dengan cara dramatik namun realistik. Itu sedikit sebanyak gambaran filem The Avengers yang diadaptasi daripada komik adiwira terlaris keluaran Marvel Inc., The Avengers yang diterbitkan sejak tahun 1963.

                                                            The Avengers menggabungkan adiwira Captain America, Thor, Iron Man, The Hulk, Hawkeye dan Black Widow menentang peperangan yang dicetuskan oleh Loki. Hal ini mendorong Nick Fury, pengarah agensi keamanan sejagat (S.H.I.E.L.D) untuk mengumpulkan kesemua adiwira berkenaan.

                                                            Jika sebelum ini, Iron Man dan sekuelnya, Iron Man 2 berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung dan pada tahun lalu Thor dan sebuah lagi naskhah adaptasi karakter komik Marvel, Captain America: The First Avenger menghasilkan pencapaian yang sama, namun mampukah ia turut dicapai The Avengers?

                                                            Para pendukung karakter-karakter adiwira The Avengers berkongsi pandangan sedikit sebanyak tentang kisah menarik sepanjang pembikinan filem yang diarahkan oleh Joss Whedon itu.

                                                            Kafein buat Downey Jr.

                                                            Mula memainkan peranan Tony Stark dalam filem Iron Man pada tahun 2008, nama Robert Downey Jr. semakin diingati.

                                                            “Sejak lima tahun lalu apabila pertama kali Iron Man dibikin sehingga ke hari ini kami sentiasa mendapat respons positif. Kesemua tiga francais yang dilancarkan sebelum ini berjalan lancar. Jika produksi terbaharu ini (The Avengers) tidak menjadi, pastinya akan menjejaskan hasil selepas ini,” katanya menerusi sedutan temu bual yang dibekalkan kepada Kosmo! oleh syarikat produksi The Avengers, Paramount Pictures.

                                                            Bagaimanapun satu fakta yang menarik, Downey Jr. sebenarnya seorang aktor yang sentiasa bergantung pada kopi untuk terus bermain dan mencorakkan karakter Iron Man.

                                                            “Sudah tiga kali saya memainkan watak adiwira. Penat tetapi, peranan itu sentiasa menarik minat saya untuk lebih bereksperimentasi. Saya dapati kafein membantu saya untuk terus beraksi, bukanlah banyak mana pun cuma sekadar kuantiti yang mencukupi.

                                                            “Saya sebenarnya bimbang sepanjang melalui penggambaran filem ini, sama ada ia akan berjaya atau tidak. Tapi percayalah filem ini merupakan naskhah hebat!” luah pelakon berusia 47 tahun itu.


                                                            PENGARAH The Avengers, Joss Whedon (dua dari kiri) banyak berbincang dengan para pelakonnya di set penggambaran untuk merealisasikan watak secara realistik.

                                                            Sosok tubuh idaman Johansson

                                                            Bagi Mark Ruffalo yang membawakan watak Bruce Bannner atau The Hulk, perasaannya terlibat dalam The Avengers sukar digambarkan dengan kata-kata.

                                                            “Saya pernah terfikir untuk melakonkan watak Hulk sendirian dalam sebuah filem tapi bergantung juga pada pihak Marvel dan selera peminat. Terbabit dalam filem ini sangat mengujakan! Pelbagai pengalaman luar biasa dapat saya kaut dan rasanya seperti bermain dengan pasukan bola sepak All-Star NFL (National Football League),” ujarnya.

                                                            Berbeza pula perasaan teruja bagi pelakon Scarlett Johansson yang merealisasikan karakter Natasha Romanoff atau Black Widow iaitu seorang pengintip wanita yang licik.

                                                            Akuinya, dia mempunyai masalah untuk mendapatkan sosok badan ideal bagi seorang wanita, namun peranannya dalam The Avengers berjaya memberikannya sosok badan yang diidamkannya itu.

                                                            “Setiap wanita pasti bimbang akan masalah ini dan saya tidak terkecuali. Tapi hasil daripada meluangkan masa di gimnasium, saya dapat memakai sut kulit yang diberikan untuk watak Black Widow,” tuturnya.

                                                            Hemsworth separa dewa

                                                            Thor, watak separa dewa yang membenarkan pendukungnya, Chris Hemsworth berasa lebih teruja. Dia mengakui sangat teruja saat ditawarkan watak yang menggabungkan semua adiwira dalam satu filem.

                                                            Malah Chris Evans juga turut merasakan perkara yang sama. Chris sebelum ini pernah melakonkan watak yang sama iaitu Captain America dan adiwira Johnny Storm dalam siri filem Fantastic Four.


                                                            KARAKTER filem The Avengers menampilkan barisan karakter yang terdiri daripada (dari kiri) Iron Man, Black Widow, Thor, Captain America, Nick Fury, Hawkeye dan Hulk.

                                                            Namun Hemsworth dan Evans juga berkongsi sikap yang sama iaitu tidak serius ketika mula-mula berasa di set penggambaran The Avengers.

                                                            “Sebelum saya dibenarkan melihat Hemsworth dan Downey Jr. memakai sut lengkap adiwira masing-masing, saya menyelinap pada waktu malam semata-mata untuk menyaksikan sendiri sut itu di depan mata. Perangai saya itu tak tumpah seperti seorang kanak-kanak!” akui Evans.

                                                            Namun Evans dan Hermsworth mula serius apabila Downey Jr. menegur sikap mereka itu. Kata Robert: “Kamu semua pelakon profesional! Serius sedikit.”

                                                            Ungkap pula Hemsworth: “Sejak daripada kejadian itu kami lebih terkawal. Pada masa yang sama saya dan Chris akan memantau diri satu sama lain.

                                                            Dalam perkembangan lain, filem Iron Man 3 kini sudah memulakan penggambaran manakala Thor 2 dalam peringkat praproduksi untuk penggambarannya tidak lama lagi. Malah, Evans juga sudah bersedia sekiranya projek Captain America 2 dilancarkan di masa depan.
                                                            TONTON Video Trailer The Avengers (Movie)

                                                            No comments:

                                                            Post a Comment

                                                            Komen di sini

                                                            Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







                                                            Arkib